Penilaian Tahun Akhir (PeTA) Fakulti Tari ASWARA

Penilaian Pelajar Tahun Akhir 2026 (PeTA 2026) merupakan sebuah program penilaian akademik tahunan anjuran Fakulti Tari, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang melibatkan pelajar-pelajar tahun akhir peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Program ini akan berlangsung pada 15 hingga 22 Jun 2026 bertempat di Panggung Eksperimen, Bilik Seminar 6, dan Whitebox ASWARA.
PeTA 2026 merangkumi beberapa komponen utama penilaian termasuk pembentangan hasil projek, penilaian praktikal dalam studio, sesi disertasi/viva, dan produksi persembahan akhir. Program ini berfungsi sebagai platform akademik dan profesional bagi menilai pencapaian pelajar secara holistik melalui aspek penyelidikan, kreativiti, teknikal persembahan, dan pengurusan produksi.
Pelaksanaan program ini turut melibatkan kerjasama pensyarah, panel penilai dalaman dan panel penilai luar yang terdiri daripada penggiat industri serta akademik profesional dalam bidang tari dan seni persembahan. Penilaian ini bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar untuk mempersembahkan hasil karya pada tahap profesional, malah menjadi medan pembangunan koreografi, pengukuhan disiplin artistik, dan peningkatan standard pendidikan tari di ASWARA.
Selain memperkasakan potensi pelajar sebagai bakal koreografer dan penggiat seni, PeTA 2026 juga menyumbang kepada pembangunan ekosistem seni persembahan negara melalui penghasilan karya kreatif berteraskan tari tradisional dan kontemporari. Program ini selari dengan usaha ASWARA dalam melahirkan graduan seni yang kompeten, inovatif, dan berdaya saing dalam industri kreatif Malaysia.
TENTATIF PERSEMBAHAN PeTA 2026
19 Jun 2026 – PeTA Diploma Tari
20 Jun 2026 – PeTA Ijazah Sarjana Muda Tari dengan Kepujian (Persembahan)
21 Jun 2026 – PeTA Ijazah Sarjana Muda Tari dengan Kepujian (Persembahan)


